Memaparkan catatan dengan label Terminologi . Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Terminologi . Papar semua catatan

Hukum fantasi dan realiti

Apakah hukum fantasi dan realiti sudah melanggar aturannya? Di kala aku cuba menghulurkan tangan ku di udara, apakah mampu kau mencapai hujung jariku?

Aku tahu aku masih jua mencari. Kerna hidup juga aku katakan ia terus berjalan. Maka walau tebal onar pasti aku redahi tanpa banyak bicara.


Apabila ia bermain di akalku, maka dengan kuasa akan aku sedaya menzahirkannya. Di kala satu pertemuan itu kau letakkan ia pada landasan satu takdir, maka ingin juga aku bertanya, "apakah sudah kau usahakan?"

Tiap kali aku cuba menyusun kata, tiap kali juga aku ligat bersandiwara. Aku beralasan, aku beralas dan aku tertanya-tanya, mengapa harus aku menuturkan dusta?

Dan tiap kali aku menuju pada jawabnya, maka apakah adanya engkau di sisi ku membawa aku pada ertinya?

Aku sudah pula bermain-main. Bak anak kecil meloloskan dirinya dari satu kebenaran, begitu juga aku yang pasti mencari nikmat dan keseronokan hidupku.

Aku tahu aku masih jua mencari. Kerna hidup juga aku katakan ia terus berjalan. Maka walau tebal onar pasti aku redahi tanpa banyak bicara. Moga aku temui 'satu jawapan' nya. Satu destinasi yang akan ku adaptasi.

Subscribe in a reader

Add to Google Reader or Homepage Subscribe in NewsGator Online Subscribe in Bloglines

Ruang itu juga cinta

Hukum ruang itu sahabatnya kebinasaan. Kebinasaan itu kawannya kejahatan jua. Akan tapi dunia ini sudah berikan tiap satunya berpasang-pasang. Maka aku pandang ke sekeliling ruang.

Kehidupan ini penuh dengan cinta. Dari cinta itu datangnya ilmu dan usaha. Aku, engkau, ibu mu dan ayahmu, kita saling bercinta.


Kini ruang itu adalah nyata. Ia menuntut ada untuk memenuhinya. Aku berjalan sekeliling ruang sambil menyapa sahabatku yang menanti diluarnya. Hendak kupersila, ianya terlalu istimewa. Aku hanya mampu tersenyum sebagai hadiah buat sahabat agar tidak berduka cita. Hendak ku sahut debatnya, aku pula tiada isinya.

Aku biarkan semuanya sehari dua. Aku penuhi masa ku dengan berjalan ke sini sana. Ahh, aku tahu ia pasti ada. Kerana pasti pasangannya tetap jua 'tiada'. Maka ketakutan tidak duduk di bidaraku dan sekali lagi ku ukir senyuman seraya berkata, "Kehidupan ini penuh dengan cinta. Dari cinta itu datangnya ilmu dan usaha. Aku, engkau, ibu mu dan ayahmu, kita saling bercinta."

Subscribe in a reader

Add to Google Reader or Homepage Subscribe in NewsGator Online Subscribe in Bloglines

Citarasa

Cita rasa ku cukup tinggi. Mata ku meliar-liar memerhati, fikiranku berpusing-pusing mengejari, keringatku bersungguh-sungguh mengecapi. Ada yang masih anak-anak dan ada yang sudah dewasa.

Jika kau katakan aku berfantasi, maka biarkan aku. Hidup ku kini lebih bermakna kerana sudah ku tahu maksud hakiki.


Buat yang masih anak-anak itu aku ajar ia satu persatu tentang nilai suatu pencapaian. Buat yang sudah dewasa pula aku sering berpesan supaya ia menjagai sesama sendiri. Tetapi ternyata mereka ini semua indah dan mewah.

Sudah pernah aku duduk di pondok usang. Susah perit sakitnya sudah lama aku hadam. Kini aku di atas awan dan sungguh aku tidak berdusta pada mu, pemandangannya sungguh indah sekali! Ikutlah aku kerana aku tahu itu juga yang engkau mahu. Di sebalik tirai awan itu kebahagiaan, kenikmatan dan kesyukuran.

Sekali lagi ku ulangi, cita rasa ku cukup tinggi! Cita ku sudah mencapai ke atas menara dan rasa ku sudah jauh meninggalkan dunia. Jika kau katakan aku berfantasi, maka biarkan aku. Hidup ku kini lebih bermakna kerana sudah ku tahu maksud hakiki.

Subscribe in a reader

Add to Google Reader or Homepage Subscribe in NewsGator Online Subscribe in Bloglines

Penghidupan

Buat aku untuk hari lahir ku hujung bulan ini.

Zahirnya aku dalam angan ibu ku. Maka, dengan izin itu jadi, dengan izin itu lahir dan dengan izin itu juga kehidupan. Aku mencelik-celik ke kanan dan kiri melihat sekeliling tanpa erti. Terlihat senyuman terukir di bibir insani. Kenikmatan, kesyukuran dan kepuasan menjadi satu, satu itu juga keluarganya dan satu itu juga asalnya.

Maka setiap tahun hari aku lepasi, angka aku daki dan ilmu aku dukungi berjalan di atas titian syukur dan tawakal. Kali ini lebih bererti, perhentian ku kini sebagai musafir suci. Aku belajar tiada henti kerana itulah kurnia ujian, kurnia beban dan kurnia tanggungan.

Aku sudah jumpa dengan pahlawan hati. Aku mulakan bicara untuk memahami lantas aku ungkai-ungkai setiap kata menjadi maksud, setiap gambar menjadi pemandangan dan setiap bunyian menjadi alunan yang indah. Pahlawan hati juga berbisik, "Apakah kau melihat aku setiap jagamu?". Aku mengangguk. Ia menyambung lagi, "Apakah kau tidak lupa menyediakan santapan ku setiap hari?". Aku mengangguk. Ia sambung lagi, "Hati adalah di bawah nama ku, kesyukuran adalah di atas bidara ku, nafsu adalah di dalam tidur ku dan pasti kesabaran adalah puncak kekuatanku. Kau pandanglah ke cermin dan katakanlah kepada pahlawan hati, jagalah di dalam penuh kesyukuran, tidurlah ketika nafsu berkembang dan sabarlah di dalam perjalanan. Maka pasti terbuka simpulan yang bersarang di sebalik penglihatan dan pendengaran kerana engkau di pintu kebenaran."

Maka aku sujud penuh syukur. Tahun ini lebih bererti kerana perjalanan aku lebih suci setelah aku dibebani dengan ilmu lantas ia aku langkaui. Puncak keinginan aku sudah berdiri, penglihatan aku sudah jelas dan pendengaran ku sudah tajam. Semua ia aku tunggangi berjalan bercahayakan kesyukuran dan kesabaran.

Subscribe in a reader

Add to Google Reader or Homepage Subscribe in NewsGator Online Subscribe in Bloglines

Alamecarte, Forta, Kuda, Eval dan Silverika

Alamecarte, ada semua, besar, kecil, tinggi, rendah, baik, buruk dan tenaga. Ia aku sebut-sebut sebagai satu. Dan di bawah satu itu ada rangka pecahannya.

Rangka pecahannya, aku suka panggil ia Forta dan Kuda. Forta itu besar dan tidak boleh aku genggam. Ia mengalir dan beralun-alun. Semakin hari ia semakin besar membulat. Kuda pula sangat tegap dan padat. Akan tetapi ia dimakan Forta sikit-sikit hari demi hari secara halus. Kini ia sudah kurang dari sepertiga.

Kuda inilah didiami Eval di dalam masyarakatnya sendiri. Eval itu berevolusi selaras dengan kerajaannya Silverika. Silverika ada pahlawan. Kanan berkata ia pahlawan hati, kiri pula kata ia pahlawan mati. Silverika juga tidak dapat lari dari buasan nafsu manusia, maka ada sesetengah kerajaannya sudah bertukar menjadi kuasa jahat, Silmestiza.

Maka aku hayun-hayunkan kepala aku memandang ke timur. Kasarnya aku lihat kebaikan tetapi jauh di dalamnya terpancar kejahilan. Aku palingkan muka ku barat pula, kasarnya berupa pemalsuan, dalamnya jauh lebih dusta. Maka aku memilih untuk memandang ke atas tetapi aku tidak bertanya. Aku hanya diam kerana aku tahu aku tidak punya kuasa.

Subscribe in a reader

Add to Google Reader or Homepage Subscribe in NewsGator Online Subscribe in Bloglines

Kau lafazlah

Buatmu lukis ku sudah yang peta berpandukan kau berjalanlah,
Restu ku mendapat pasti nama mu,
Lukisan mu di dalam abadikan dan lena mu di dalam simpanlah,
Balasan ku jagalah kau, terbalas satu mata buat vika.

Perkiraan ku di angka menjadi masih kau dan bicaraku bual masih kau,
Dengan ku semeja masih kau,
Hadapan mu dihidang ku yang apa dengan lagi tertanya kau usah maka,
Halangku di tempat tiada ia kerana pasti itu mata satu lambaian.

Sangsi tanpa rapi jaga aku dan tanyaku dengan sedar aku,
Balas aku yang mampu satu hanya,
Arahku ke tepat menghala mata dua tatkala,
Pandanganmu menembusi ketenangan ku.

Kau lafazlah...
Kau lafazlah...
Kau lafazlah...
Dan lahirlah... lahirlah.. lahirlah...

Silverika... Silverika... Silverika...Tiga mulut, Dua hidung, Satu mata!

Subscribe in a reader

Add to Google Reader or Homepage Subscribe in NewsGator Online Subscribe in Bloglines

Rasa

Rasa itu berbahasa, tetapi ia tidak berkata. Ia berhubung melalui adabnya tanpa perkakasan rangkai manusia. Rasa itu ada, rasa itu juga tiada. Rasa itu hanya berhenti di persinggahan yang menjemputnya.

Rasa itu berbahasa, maka aku tidak perlu berkata. Kau masih tertanya dan menunggu walaupun kau tahu apa yang aku dan kau rasa. Adakah aku masih perlu melafazkan kata memberi penjelasan apa yang aku rasa? Maka hilanglah seri nya dan lenyaplah misterinya.

Rasa itu berbahasa, sukar untuk berkata, maka aku hadirkan pembayangnya. Mereka berjalan bersama sehingga tiba destinasinya bertemu engkau. Apakah engkau masih sangsi dengan mereka?

Sudah begitu lama aku memejam mata. Menanti engkau untuk membukanya dan membawa aku menikmati keindahan alamNya. Maka itulah yang aku rasa kerana rasa itu sukar untuk berdusta. Begitu juga dengan pembayangnya yang setia.

Aku tersenyum dan engkau gembira. Itu sudah cukup istimewa buat kita sambil menikmati kelazatan rasa.

Subscribe in a reader

Add to Google Reader or Homepage Subscribe in NewsGator Online Subscribe in Bloglines

Musafir yang semakin kehausan

Cemburu, cemburu, cemburu...

Aku cemburu dengan baju ku, setiap kali ku basuh ia semakin lusuh, warnanya semakin pudar dan kainnya semakin rosak. Aku cemburu dengan nama ku, setiap kali dipanggil ia lantas menyahut, setiap kali dipuji ia senyum tersipu dan setiap kali dimarahi ia lari dari apinya.

Aku memandang pula ke cermin lalu aku palingkan muka ku ke kiri. Aku cemburu dengan wajahku, tahun demi tahun ia menunjukkan kemasakan kulitnya sesuai dengan usianya. Maka kubelai diri ku dengan mengusap rambut ku sendiri. Rambut ku juga semakin hari semakin ia panjang. Aku cemburu lagi.

Segala di sekeliling dan di badan ku sendiri patuh dengan peradabannya. Mereka tidak ingkar apatah lagi mempertikai mengapa mereka harus berbuat begini. Mereka akur, patuh dan berjalan sebagaimana harus mereka berjalan. Maka membuatkan aku cemburu, cemburu dan cemburu...

Mengapa tidak jaga dan tidur ku begitu? Aku tahu aturannya tetapi kadang kala aku berpaling. Aku memesongkan perjalanan ku menjadikan aku musafir yang semakin kehausan. Perjalanan aku menjadi lebih jauh dan aku perlu berhenti di hentian untuk menghilangkan dahaga ku.

Aku masih kepenatan, maka aku menyuruh kaki dan tanganku meneruskan perjalanan terlebih dahulu. Aku terus memejamkan mata dan tidur sebentar di hentian itu.

Kata kunci ku pada hari ini: Dua keretapi di dua landasan, maka hancurlah mereka walau hanya satu yang tersalah masuk landasannya.

Subscribe in a reader

Add to Google Reader or Homepage Subscribe in NewsGator Online Subscribe in Bloglines

Saya yang mulia

Aku buka kamus nama-nama dan mencari makna namaku, akhirnya jumpa. Aku sedikit tersenyum melihat maknanya. 'Afiqme' maksudnya 'Saya yang mulia'. Nama itu adalah pengenalan atau satu tanda itu aku. Namaku mewakili diriku. Tak sangka aku punya nama yang baik dan hebat.

Sejenak aku meninggalkan namaku dan bertemu dengan diriku sendiri, terasa sedikit ringan lalu aku panjat kesyukuran. Aku punya hiasan yang baik. Maka aku minta perlindungan agar aku tidak tunduk pada hiasan diriku tatkala tertitip namaku di lidah-lidah manusia.

Itu baru nama. Maka aku terkenang lagi sifat, pangkat darjat serta ilmu pengetahuanku. Syukur aku percaya aku juga punya sifat-sifat yang baik, maka sekali lagi kesyukuran dan perlindungan aku pinta. Pangkat darjat pula mengajarku erti tanggungjawab di atas segala beban yang aku kendong di belakang. Aku pejamkan mata dan meminta petunjuk dan perlindungan sekali lagi.

Aku suka dengan ilmu. Apatah lagi ilmu dan amal. Ia bagaikan lautan dan pantai. Aku bersyukur ilmu itu tidak berbentuk, jika tidak aku pasti ilmu itu lebih besar dari sebuah rumah. Telah banyak aku pelajari sepanjang hidupku. Ujian yang aku hadapi juga berupa satu ilmu pengalaman yang tiada nilai. Terasa begitu besar dan berat beban yang aku kendong ini maka aku menyuruh ilmu ku menjadi seekor kuda dan aku tunggangnya perlahan-lahan dan berhati-hati. Sungguh aku merasa sangat selesa, kadang kala buat aku lupa pada penciptanya. Syukurlah ia seekor kuda bukan sebuah kereta mewah, mampukah aku memandunya? Maka sekali lagi aku minta perlindungan supaya aku tidak alpa dan membawa ia ke jalan yang salah.

Habis lamunanku, kupanjatkan lagi kesyukuran kerana aku tidak punya kuasa dan apa-apa sebenarnya. Seperti kukatakan itu bukanlah aku. Nama, sifat, pangkat darjat serta ilmu pengetahuan hanya hiasan yang melekat pada tubuhku. Syukur aku dipinjamkan hiasan yang baik-baik.

Jika kau pandang aku tanpa hiasan-hiasan itu, maka itulah sebenarnya aku dan aku pasti kau juga melihat aku juga diciptakan oleh pencipta hiasan-hiasanku.

Subscribe in a reader

Add to Google Reader or Homepage Subscribe in NewsGator Online Subscribe in Bloglines

Pandanglah aku tanpa kata sifat

Terlebih dahulu biarlah aku buka bicaraku dengan apa yang aku maksudkan dengan 'kata sifat'. Kata sifat itu yang aku percaya engkau juga faham adalah seperti sifat berani, degil, baik, jahat, pemurah dan sebagainya.

Kata sifat itu besar pengaruhnya apatah lagi sesudah ia bermaharajalela di dalam sistem kepercayaan berdasarkan perjalanan hidupmu. Ia juga boleh melahirkan perasaan. Contohnya seperti momokan hantu itu 'jahat', maka lahirlah perasaan takut engkau kepada hantu. Banyak lagi perasaan yang boleh hadir dari kata sifat seperti perasaan kagum, sedih dan gembira.

Apa yang menjadi kerisauanku adalah tindak balas yang lahir. Apabila wujudnya perasaan 'takut hantu', maka lawannya itu adalah 'hantu berani'. Dan ia menjadikan hantu itu berani dengan engkau kerana engkau takut. Begitu juga tatkala lahirnya sifat kagum, sudah pastilah tindak balasnya adalah takbur.

Maka, kau pandanglah aku tanpa kata sifat, cukup sekadar 'Afiqme'. Kerana semestinya aku tidak punya apa-apa dan tidak layak untuk apa jua kata sifat. Aku hanya menyampaikan kebenaran kerana aku percaya ia seharusnya menjadi satu perkongsian kerana ia juga bukan milikku. Maka, senyumlah dan khabarkanlah apa saja kepadaku. Tinggi rendahnya aku sama seperti engkau.

Subscribe in a reader

Add to Google Reader or Homepage Subscribe in NewsGator Online Subscribe in Bloglines